Monday, July 27, 2015

Rozita Che Wan Hidup Mewah, Berbaloi Jadi Artis


Tidak mahu mencipta alasan untuk berjaya, Rozita Che Wan atau 
Che Ta mengakui bahawa kehidupan sebagai seorang selebriti sebenarnya mampu menjamin sebuah kehidupan seperti apa yang diidamkan oleh kebanyakan orang.

“Saya harus akui lima tahun pertama menjadi seorang pelakon, saya memang bekerja keras untuk mencari duit bagi menampung kehidupan saya. Tetapi selepas tempoh, ia berlaku sebaliknya pula apabila saya tidak lagi bekerja kerana wang,” kata Che Ta menerusi program hlive! Apa Kata Malaysia?
Tambah pelakon ini juga, pendapatan yang diperolehinya dalam jangka masa sebelum mampu mencecah RM60,000 hanya melalui lakonan sahaja dan tidak termasuk bayaran pengiklanan dan sebagainya.
Selain bijak dalam berbelanja, Che Ta juga menjelaskan bahawa dia sendiri dalam masa yang sama sudah merancang dengan membuat persediaan menceburi bidang perniagaan demi masa depannya. Namun tindakannya berkongsi gambar kemewahan di Instagram bukanlah atas dasar menunjuk-nunjuk.
“Niat saya bukan untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya saya mahu masyarakat untuk berasa positif dengan apa yang mereka lihat. Hanya dengan kerja keras dan terus berusaha selain dengan niat yang jujur serta berfikiran positif, semua itu mampu dimiliki,” jelasnya.- Sumber Rotikaya

Penjawat awam wajib bayar PTPTN melalui potongan gaji

Penjawat awam wajib bayar PTPTN melalui potongan gaji

PUTRAJAYA: Kesemua 163,007 penjawat awam yang tidak membuat pembayaran dan tidak konsisten menyelesaikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwajibkan membuat bayaran melalui potongan gaji, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Buat permulaan, katanya, sebanyak 480 warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk 136 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional akan mula membuat potongan gaji bagi bayaran balik PTPTN September ini.

Tarikh permulaan pembayaran balik PTPTN melalui potongan gaji untuk kementerian dan agensi lain akan dibincangkan pada perjumpaan dengan para Ketua Setiausaha (KSU) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Jumaat ini, katanya.

"Jumaat ini juga saya akan menyampaikan senarai nama penjawat awam yang membuat pinjaman PTPTN kepada KSU dan SUK agar penjawat awam membayar balik melalui potongan gaji," katanya kepada pemberita selepas Program Sesi Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama pegawai JPA dan sesi taklimat PTPTN di sini pada Isnin.

BACA: Potong gaji penjawat awam tidak bayar PTPTN - Ali Hamsa

BACA: PTPTN : Potong gaji penjawat awam tindakan terakhir

Beliau berkata jumlah potongan gaji bulanan akan ditentukan mengikut kemampuan masing-masing.

Mohamad Zabidi berkata nama penjawat awam yang membuat pinjaman PTPTN akan dimasukkan ke Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) untuk memastikan mereka tidak terlepas daripada membuat bayaran balik PTPTN.

"Sebagai penjawat awam, kita harus menunjukkan sikap bertanggungjawab dan menjaga integriti untuk melunaskan hutang (pinjaman PTPTN) dan bukan lari daripada tanggungjawab," katanya.

Bulan lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata 163,007 penjawat awam yang tidak pernah membuat pembayaran dan tidak konsisten menyelesaikan pinjaman PPTPTN akan menerima surat pemotongan gaji.

Ali berkata mengikut pecahan kategori, penjawat awam pelbagai gred (kecuali Gred Jusa C, Gred 54 dan Gred 28) yang tidak pernah membuat pembayaran adalah sebanyak 32,803 orang manakala penjawat awam pelbagai gred yang membuat pembayaran sekali-sekala  (tidak konsisten) adalah sebanyak 130,204 orang.

Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata JPA juga sedia memainkan peranan untuk menjadi pemudah cara antara peminjam dan PTPTN.

Mengenai perjumpaan warga JPA dan sesi taklimat PTPTN, beliau berkata ia adalah satu platform interaksi antara warga JPA dengan pihak PTPTN mengenai kaedah terbaik untuk mengatur pelan pembayaran pinjaman sesuai dan mengikut kemampuan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN Mastura Mohd Khalid berkata kini terdapat dua juta peminjam di seluruh negara dan 280,000 daripadanya merupakan penjawat awam.

Beliau berkata peminjam tidak kira di sektor awam atau swasta wajar mengambil langkah proaktif untuk menghubungi PTPTN berhubung pembayaran balik pinjaman.

"Kalau ada masalah, mereka harus datang berjumpa, berbincang dan berunding dengan pihak kami agar akaun anda berada dalam keadaan baik," katanya.